Followers

Pages

20 May 2015

CerPan Adam




Tangan mak dan abah aku salam. Aku hanya melambai begitu sahaja. Langsung tidak ada perasaan. Lambaian hanya sekadar tangan, muka ini langsung tidak menoleh. Aku terus melangkah masuk ke dalam teksi yang telah menungguku. Langsung tidak aku sedar, mungkin itulah lambaian terakhir aku kepada mereka. 

Aku menyambung pelajaranku di luar negara. Di kota London. Di sini aku seolah-olah lupa segala tentang diri aku. Aku jarang menghubungi mak dan abah. Jarang sekali aku bertanya khabar mereka. Sihatkah atau sakitkah? Kehidupan aku di sini hanyalah aku, pelajaranku dan kawan-kawanku. Fokusku pada pelajaran terlalu tinggi sehingga aku lupa segalanya. Sekali sekala aku menelefon mereka pun hanya kerana mahu meminta wang walaupun keluargaku bukanlah daripada keluarga yang berada. Pelajaranku ini pun merupakan biasiswa yang aku dapat daripada sebuah syarikat terkemuka.
   
Setelah 3 tahun aku di negara orang, aku pulang ke tanah airku. Aku pulang dengan membawa segulung ijazah. Tidak pula aku terus pulang ke kampungku, namun aku terus ke ibu kota negara. Aku mahu lihat syarikat yang bakal aku bekerja nanti. Dalam keasyikan aku melihat suasana yang sudah lama aku tinggalkan, aku tiba-tiba rebah ke lantai. Aku berasa lemah sekali. Mataku berpinar-pinar. Degupan jantungku berdegup laju. Aku tidak tahu apa kena dengan diriku. Datang seorang lelaki membantuku. Aku tidak dapat melihat wajahnya jelas kerana mataku ketika itu kelihatan kabur. Mujur ketika itu aku berada berdekatan dengan sebuah kedai buku.

Sejurus aku sedar, aku lihat doktor di sebelahku sedang memeriksa diriku. Di sudut lain pula aku dapat melihat seorang lelaki yang tidak aku kenali sedang berdiri di hujung katil. Mungkin itu lelaki yang membawaku ke sini. Aku segera mengubah posisiku dalam keadaan duduk. 

"Encik Adam, Encik Adam kena berehat dulu ye. " Doktor itu menasihatiku. Doktor Husaini. 
Lelaki yang berdiri di hujung katil itu segera datang ke arahku apabila doktor yang bertugas merawatku pergi. Dia tersenyum melihatku. 

" Saya Farid. Saya yang bawa awak ke hospital. Macam mana? Encik Adam rasa okey?" Ramah dia menegurku.

Aku sekadar mengangguk. 

"Bagaimana dengan keluarga Encik Adam? Saya minta maaf la sebab tak hubungi keluarga Encik Adam sebab saya tak jumpa sebarang nombor telefon keluarga Encik Adam. Telefon Encik Adam pula dah habis bateri. Tapi kalau Encik Adam nak hubungi mereka Encik Adam boleh guna telefon saya." Dia cuba membantuku.

Ketika itulah aku baru teringat akan mak dan abahku di kampung. Seharusnya aku pulang terus ke kampung. Apakah ini petanda yang Allah ingin beri padaku? "Err, panggil saja Adam. Emm, Encik Farid. Terima kasihlah sebab bawa saya ke hospital. Kalau Encik Farid tak ada tadi, tak tahulah apa akan jadi dengan saya."

"Tak ada apalah. Itu dah menjadi kewajipan saya sebagai seorang insan, seorang muslim membantu antara satu sama lain. Oh ya, doktor ada berpesan dengan saya tadi. Dia suruh saya hubungi waris pesakit sebab ada perkara yang doktor tu nak beritahu. Itu yang saya cari nombor keluarga Adam tapi tak jumpa pulak." Jelas lelaki itu sambil tersenyum.

Aku termenung, teringat mak dan abah. Jarang sekali aku bertanya khabar apatah lagi pulang ke kampung. Pasti mereka merindui aku. Aku harus segera pulang ke kampung. Aku tidak tahu apa yang aku rasa tapi hanya itu yang terdetik di hatiku. 

Aku segera mempersiapkan diriku. Aku harus keluar hospital hari ini juga. Hatiku seolah-olah rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Belum sempat aku keluar dari bilik itu, tangan Farid sempat mencapai tanganku.

Aku berpaling ke arahnya. Mungkin dia tidak setuju aku keluar dari bilik ini tanpa izin doktor yang bertugas. Atau mungkin bukan. "Adam, saya tak kisah kalau Adam nak keluar. Saya faham, mungkin ada perkara yang penting yang Adam perlu uruskan. Tapi sebelum Adam pergi, saya rasa lebih baik Adam berjumpa dahulu dengan Dr. Husaini, doktor yang merawat Adam tadi. Saya rasa ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Dr. Husaini tadi. Sepertinya, ia suatu perkara yang amat penting." Lembut sahaja bicara lelaki itu. Rupanya dia hanya ingin menyuruh aku bertemu dengan doktor itu.

"Adam jangan risau. Bil hospital ni saya dah bayarkan untuk Adam. Saya ikhlas tolong Adam." Pernyataannya itu membuatkan aku agak terkejut. Lelaki ini sanggup membayarkan untuknya bil hospital ini. Hati aku agak tersentuh sedikit dengan peribadinya yang baik. Walaupun dia tidak begitu mengenaliku namun dia sanggup menolongku. Selepas aku mengucapkan terima kasih, dia sempat lagi menghulurkan kad namanya sebelum aku pergi. Aku berjanji pada diriku, aku akan balas semula jasanya.

Aku duduk di hadapan Dr. Husaini. Aku mendengar setiap butir katanya. Pedih hatiku bila mendengar kata-kata doktor itu. Rasa seperti jantungku berhenti berdegup. Apakah ini balas Tuhan padaku? Apakah ini balasan kerana aku mengabaikan orang tuaku? Allahu Akbar! Baru kini aku ingat Tuhan, baru kini aku ingat mak dan abah. Ya Allah, berat sungguh dugaan ini. Air mataku mengalir jatuh ke pipi.

"Encik Adam banyakkanlah bersabar. Ini semua dugaan Allah untuk hambaNya. Jalan terakhir untuk sakit seperti Encik Adam ini adalah pembedahan. Tapi biasalah, pembedahan ini mengambil kos yang agak tinggi dan juga agak sukar kerana kita perlu mencari penderma yang sesuai untuk Encik Adam. Apa-apa pun, Encik Adam kena banyak berdoa pada Tuhan." Nasihat doktor itu aku simpan.

*  *  *  *  *  *

Aku kini berdiri di hadapan rumahku. Sunyi. Rumah ini kelihatan sunyi sepi. Aku langsung tidak dapat melihat bayang-bayang mereka. Sudah pindah ke? Tak mungkin. Ini sahaja satu-satunya rumah yang dimiliki keluargaku. Keluargaku bukanlah keluarga yang berada. Aku memberi salam. 
Tiada jawapan. Aku naik dan cuba untuk membuka pintu rumah. Tidak berkunci. Penuh debar aku melangkah masuk ke dalam rumah. Rumah ini masih tidak berubah. Aku melangkah pula menuju ke bilik mak dan abah. Aku terdengar seperti suara sedang berbisik. Aku menyelak langsir yang menutupi ruang dalam bilik itu.

Hatiku tersentap melihat abah di kaki sejadah. "Ya Allah, Engkau ampunilah dosa anakku, Adam. Engkau peliharalah dia daripada kemurkaanmu. Aku redha ya Allah andai dia sudah lupa akan aku. Aku cuma ingin anakku bahagia. Engkau berilah Adam hidup yang bahagia, jauh dari derita. Walaupun aku rindu sangat dengannya, cukuplah gambarnya menjadi tatapanku. Engkau berkatilah kehidupannya. Engkau berilah Adam kesihatan yang baik dan jauhkanlah dia daripada segala penyakit. Dan Engkau tempatkanlah isteriku di kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kerana Engkaulah aku mampu bertahan untuk hidup, sehingga anakku pulang, jua sehingga aku mati. Kepada Engkaulah aku mengadu, memohon hajatku. Makbulkanlah ya Allah doaku ini. Aminn.. " 

Aku terus meluru ke arah abah sejurus selesai abah berdoa. Air mata yang mengalir terus deras menuruni pipiku. Tubuh abah aku peluk erat. "Adam minta ampun abah. Adam minta ampun.." Aku tidak dapat menahan perasaanku. Abah turut membalas lembut pelukanku.

"Alhamdulillah, Allah makbulkan doa abah. Adam dah pulang nak." Aku dapat melihat air mata kegembiraan di mata abah. Ya Allah, berdosanya aku mengabaikan mak abah. Adam janji akan jaga mak abah, sampai Adam mati.

"Abah, mak mana abah? Adam nak jumpa mak. Adam lama tak jumpa mak, abah. Adam banyak dosa dengan mak." Mataku melilau mencari mak. "Mak kat dapur agaknya. Adam pergi tengok kejap ye abah." Aku pergi ke dapur mencari mak. 

Sudah puas seluruh dapur aku cari tapi tidak juga aku temui mak. Aku ke hadapan semula untuk bertanya kepada abah. "Abah, mak mana? Adam cari kat dapur, tapi tak ada." Aku memandang wajah abah. Hanya wajah sayu abah yang kulihat.

Aku dapat melihat, wajah abah yang cuba untuk tersenyum. "Adam, mak tu sayang sangat dengan Adam. Sebab mak sayang sangat dengan Adam, Allah pun lagi sayang dia. Mak dah meninggal setahun lepas, Dam." Tiada kata yang mampu aku lepaskan. Aku terduduk di lantai mendengar kata-kata abah.

"Abah minta maaf sebab tak beritahu Adam. Abah cuba telefon tapi tak dapat. Macam-macam abah cuba nak hubungi kamu tapi tetap tak dapat. Adam banyakkan bersabar ya?" Abah cuba untuk menenangkanku.

"Adam banyak berdosa pada mak abah. Adam banyak lukakan hati mak abah. Adam dah abaikan mak abah. Adam tak sempat nak jumpa mak, minta ampun dengan mak. Adam tak sempat nak tengok wajah mak buat kali terakhir." Aku merintih, menyesal dengan apa yang berlaku. Ya Allah, Engkau berilah aku peluang kedua untuk aku tebus kembali dosaku. Engkau berilah aku peluang untuk menjaga abahku, sehingga aku mati. Berilah aku peluang untuk aku menebus kembali tanggungjawab aku sebagai seorang anak terhadap abahku yang telah aku abaikan dulu. Berilah aku peluang ya Allah.

*  *  *  *  *  *

Sudah 6 bulan berlalu. Alhamdulillah, Allah masih memberi aku peluang untuk hidup. Masih memberi aku peluang untuk aku menjaga abah. 6 bulan inilah aku memanfaatkan hidupku, menebus kembali masa yang aku sia-siakan dulu. 6 bulan sudah aku menjaga abah. 6 bulan jugalah aku telah mengenali seorang lelaki serta menjadikan dia sahabatku yang paling aku rapat. Seorang lelaki yang pernah membantuku dahulu. Farid. Dialah yang telah banyak membantuku dan mengajarku lebih mendalam tentang Islam, tentang kehidupan ini.

Hari ini aku berjumpa dengan Dr. Husaini. Panggilan daripada doktor itu pagi tadi yang membawa aku ke sini. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku dipanggil. Mungkinkah sakitku sudah tahap kritikal? Atau mungkinkah masaku tidak lama lagi? Bermacam-macam fikiran bermain di mindaku.

Dr. Husaini memandangku. Kemudian aku lihat dia tersenyum. "Encik Adam, tujuan saya panggil ni sebab ada berita baik yang saya nak sampaikan. Alhamdulillah, penderma yang sesuai untuk Encik Adam sudah kami jumpa dan selepas ini sekiranya Encik Adam sudah bersedia, kita akan menjalankan pembedahan secepat yang mungkin."

Aku kehilangan kata-kata. Dalam hati ini, hanya Allah sahaja yang tahu betapa bersyukurnya aku dengan berita ini. Ya Allah, terima kasih kerana Engkau masih memberi aku peluang ini. 
"Sekiranya Encik Adam bersetuju, saya akan sediakan borang persetujuan dan membuat persiapan untuk pembedahan Encik Adam. Bagaimana Encik Adam?" Doktor Husaini bertanya kepadaku.

Aku tidak terus menjawab soalan itu. Dalam gembira, aku ingin juga tahu siapakah orang yang begitu baik hatinya yang sanggup menjadi penderma untukku. "Doktor, kalau boleh saya tahu, siapa yang menjadi penderma untuk sakit saya ni ya? Sebab saya nak jumpa dia, nak ucapkan terima kasih pada dia." Aku cuba mendapatkan maklumat tentang penderma tersebut.

"Saya minta maaf Encik Adam. Penderma Encik Adam meminta saya merahsiakan tentang dirinya. Jadi saya menghormati keputusannya supaya tidak mendedahkan identitinya. Tapi kalau Encik Adam mahu, saya akan sampaikan ucapan terima kasih Encik Adam tu kepada beliau." Hajatku untuk berjumpa dengan penderma itu tidak kesampaian. Tidak mengapalah, berita ini sahaja sudah cukup membuatku gembira. 

"Tidak mengapalah kalau begitu doktor. Jadi, untuk pembedahan itu berapa kos yang diperlukan ya, doktor?" Aku risau sekiranya wang simpananku tidak mencukupi. Namun, jawapan yang diberi oleh doktor itu amat mengejutkanku. Kos pembedahan semuanya telah ditanggung oleh penderma. Ya Allah, apakah ini semua mimpi? Sungguh mulia hati penderma itu. Beliau sanggup menjadi penderma dan menanggung kos pembedahan tersebut. Ternyata masih ada lagi insan seperti itu di dunia ini. Aku bersyukur, ya Allah.

Hari ini hari pembedahanku. Namun kelibat abah langsung tidak aku lihat. Hanya pagi tadi sahaja, itupun sebentar sahaja abah datang menjengukku. Selepas itu aku tidak lagi melihat kelibat abah. Apakah abah yang menjadi pendermaku? Benarkah abah yang mendermakan organnya kepadaku? Ya Allah.. Mujur pagi tadi Farid datang menemuiku. Dia menenangkanku sebelum aku memasuki bilik pembedahan. Tenang aku melihat wajahnya. Hatiku yang resah menjadi tenteram melihat wajahnya. Aku bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang begitu baik. Terima kasih, ya Allah kerana Engkau mengirimkanku sahabat yang baik.

*  *  *  *  *  *

Aku membuka mataku. Hanya siling putih yang aku lihat dengan kipas yang berputar-putar di atas. Suara-suara ku dengar, namun tidak jelas. Aku melihat sekelilingku. Aku dapat melihat abah berada di sisi kananku. Di sisi kiriku pula, aku lihat Dr Husaini sedang memeriksaku. Aku berasa tubuhku begitu lemah sekali. Mungkin kesan daripada pembedahan tersebut. 

Rupanya, sudah seminggu aku terlantar di hospital selepas pembedahan itu. Selama seminggu jugalah aku langsung tidak sedarkan diri selepas pembedahan. Mungkin tubuhku terlalu lemah. Alhamdulillah, doktor memberitahuku bahawa kesihatanku semakin baik. Pembedahan itu telah memberiku peluang kedua untuk hidup. Terima kasih, ya Allah. Terima kasih kerana Engkau memberiku peluang kedua untuk aku teruskan hidup.

Sudah hampir sebulan aku menjalani kehidupan seperti biasa selepas pembedahan. Alhamdulillah, kesihatanku semakin membaik. Kini aku dapat menjaga abah dengan lebih baik. Seketika, aku teringat akan penderma yang baik itu. Bagaimana keadaan dia agaknya? Aku langsung tidak teringat akan dia selepas pembedahan itu. Aku cuba bertanya kepada abah sekiranya dia tahu tentang penderma tersebut.

Aku dapat melihat riak wajah abah berubah sejurus aku bertanyakan soalan itu. Adakah ini ada berkaitan dengan dirinya? Belum sempat aku bertanyakan lebih lanjut, seorang peguam telah datang ke rumah kami. Aku berasa terkejut dan aneh apabila melihat peguam datang ke rumah kami. Ada apa-apa yang telah berlaku ke?

"Tujuan kami datang ke sini adalah untuk menyampaikan wasiat arwah Muhammad Farid Danial bin Abdullah." Allahuakbar! Jantungku seolah-olah tidak berfungsi, berhenti berdegup. Ya Allah, dugaan apa lagi ini? Farid meninggal? Mengapa aku tidak diberitahu soal ini? Mengapa aku tidak tahu bahawa Farid telah meninggal? Ya Allah.... Aku meraup wajahku. 

Rupanya barulah aku tahu bahawa penderma itu adalah sahabat aku sendiri. Orang yang aku kata mulia hatinya itu adalah sahabat aku. Orang sanggup mendermakan organnya dan menanggung kos pembedahan itu adalah sahabatku. Mengapa dia sanggup mengorbankan nyawanya untuk aku? Begitu banyak yang telah dia lakukan untukku. Sedang aku masih belum mampu membalas jasanya yang begitu besar, tidak ternilai harganya. Seorang sahabat yang aku sanjungi, hilang dari hidupku. Andai wang bisa mengembalikan nyawanya, aku sanggup bayar. Andai aku mampu putar waktu, aku tidak akan bersetuju dengan pendermaan ini. Biarlah aku yang sakit, selagi dia ada di sisiku sehingga aku mati. Aku tidak menyangka, dia yang tiada hubungan pertalian darah denganku sanggup mengorbankan nyawanya untukku. Hubungan kami hanyalah sekadar terikat dengan pertalian silaturrahim, pertalian agama yang sama.

Kisah sebenar Farid baru aku ketahui. Farid sebenarnya bukan sahaja hanya seorang pemilik kedai buku, tetapi dia juga seorang usahawan. Dia mempunyai sebuah syarikat. Sebuah syarikat yang menghasilkan produk-produk bersumberkan makanan Islam. Cuma kehidupannya dia lebih memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. Kagum aku dengan kehidupannya. Lebih aku tidak menyangka, dia telah mengamanahkan aku untuk menguruskan dan mengambil alih pengurusan syarikat itu dalam wasiatnya. Ya Allah.... Begitu tinggi dia meletakkan kepercayaannya kepadaku. Amanah ini terlalu besar untuk aku pikul, tidak layak aku memikulnya. Farid bukan sahaja meninggalkan hartanya kepadaku, dia juga meninggalkan adik perempuannya untuk diamanahkan kepadaku menjaganya. Ternyata wasiat ini telah dibuat sebulan sebelum dia meninggal. Farid rupanya menghidap penyakit barah otak. Tahapnya ketika itu sudah di tahap yang agak kritikal. Namun dia tetap bertahan demi adiknya.

Aku tahu, dia bukannya ingin membebankanku tetapi dia telah mempercayaiku sepenuh jiwanya untuk menggalas amanah ini. Aku tidak pernah menganggap ini semua suatu beban yang berat yang harus aku pikul, namun aku akan menganggap ini semua sebagai membalas jasanya yang begitu besar dalam hidup aku. Amanah ini akan aku pikul dengan sebaiknya. Aku akan menguruskan syarikatnya sebaik mungkin serta menjaga adik perempuannya semampu diriku. Farid, aku berjanji pada diriku, aku akan menunaikan amanahmu. Aku akan menjaga adikmu seperti nyawa aku sendiri. Terima kasih Farid atas segalanya yang kau buat untukku. Terima kasih sahabatku.

*  *  *  *  *  *

Setahun berlalu. Alhamdulillah, kehidupan aku kini sudah cukup lengkap, bahagia. Abah semakin sihat dan turut membantuku dalam urusan bisnes sedikit-sedikit. Adik perempuan arwah Farid, Nur Farnida Dania pula telah sah menjadi isteriku. Aku terima segala kelebihan dan kekurangan diri Farnida. Perkahwinan aku dengannya bukanlah kerana atas dasar kasihan atau mahu membalas budi arwah Farid, tetapi atas dasar cinta. Cinta aku padanya tulus. Aku sudah cukup gembira dan bahagia bersamanya. Farnida juga kini telah disahkan mengandung 2 bulan. Alhamdulillah, ya Allah... 

Setiap apa yang aku lalui dalam kehidupan ini aku redha. Setiap apa dugaan yang Allah beri aku terima. Setiap kelebihan dan kekurangan dalam hidup ini aku terima dengan hati yang ikhlas. Setiap nikmat yang Engkau berikan padaku, aku bersyukur ya Allah. Terima kasih ya Allah kerana masih memberi aku peluang melihat dan menjaga abah. Terima kasih juga kerana Engkau mengirimkankanku isteri yang solehah sebagai bidadariku. Dan terima kasih ya Allah, kerana Engkau mengirimkanku sahabat yang paling aku sanjungi dan sayangi dalam hidup aku walaupun hanya sebentar. Semoga Engkau tempatkan dia di kalangan orang yang beriman. Aminn....

Terima kasih, ya Allah...

*  *  *  *  *  *  *
p/s: Ini hanya sekadar suka2. maaf andai ada yang terguris atau ada yang tidak suka. saya tidak pandai mengarang. maaf kerana ia menjadi cerpen yang panjang pula walhal niat saya cuba untuk menjadikannya sebuah cerpen. tapi dah jadi cerpan pula. lastly, harap kita dapat ambil iktibar ye.

Hargai ibu bapa anda selagi mereka masih hidup.
Hargai sahabat anda selagi mereka masih ada.
Hargai isteri anda tidak kira apa kekurangannya.
Bersyukur itu satu nikmat..

4 comments:

  1. sakit mata baca dengan tulisan ni..
    tapi cerpen ni baguslah..ada pengajaran.. hargailah mereka yg masih ada..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas komen yg berguna. InsyaAllah saya akn perbaikinya dgn lebih baik. Tq for reading! =)

      Delete
  2. Bookmark dulu.. Nnt baca semula bila ada masa..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Takpe dah bookmark jangan lupa baca. Hihi. Anyway terima kasih kerana sudi singgah. If ada anything nak komen dipersilakan. Saya terima =)

      Delete

Hi there! Feel free to drop your comment here. ^^

Thanks a lot! ♥

Newer Post